Thursday, March 26, 2009


UMAT CEMERLANG DENGAN KAWAL EMOSI MARAH

Firman Allah S.W.T. bermaksud:

”Mereka menafkahkan harta benda mereka ketika senang ataupun susah.

Mereka juga mampu mengawal perasaan marah dan mereka juga

memaafkan kesalahan orang lain”

( Ali Imran: 134 )

Maksud ayat di atas menggambarkan pujian Allah S.W.T. terhadap orang yang bertakwa dan di antara sifat mereka yang disebut dalam ayat di atas ialah berjaya mengawal emosi marah. Rasulullah s.a.w. pernah menimbulkan persoalan kepada para sahabat tentang siapakah manusia yang gagah?. Lantas dijawab oleh sahabat bahawa manusia yang gagah ialah mereka yang mampu menumbangkan lawannya. Mendengarkan jawapan tersebut, Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa orang yang gagah ialah mereka yang mampu mengawal perasaan marah dalam dirinya. (mafhum Hadis)

KESAN EMOSI MARAH

  • Negatif terhadap jantung – Menurut Penolong Profesor Ichiro Kawachi, orang tua yang sering marah-marah mempunyai risiko tiga kali ganda menghidap sakit jantung. Keadaan ini berlaku kerana perasaan marah boleh merangsang pengeluaran protein tertentu yang dikenali sebagai inflammatory proteins. Protein ini menyebabkan pembuluh darah atau arteri menjadi keras. Proses ini boleh menyebabkan kejadian strok dan sakit jantung.
  • Emosi marah jika sering berterusan dan tidak dikawal akan menjejaskan maruah dan harga diri seseorang. Jika ia seorang bapa , guru atau ketua, maka keberadaannya hanya sekadar ditakuti bukan disegani dan dihormati

BAGAIMANA KAWAL KEMARAHAN


  • Diam dan susuli dengan zikrullah – Maksud Firman Allah S.W.T. ” Ketahuilah, hanya dengan berzikir kepada Allah, maka hati akan tenang ”. ( al-Ra’d : 28)
  • Menyalur tenaga marah kepada perbuatan lain yang lebih bermanfaat seperti mengambil wudu’.
  • Melalui tindakan sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. : Apabila Rasulullah s.a.w. marah dan ketika itu Baginda sedang berdiri, maka Baginda akan duduk. Apabila Baginda sedang duduk, maka Baginda akan berbaring. Maka hilanglah perasaan marahnya. (mafhum Hadis)
  • Berbaik sangka dan banyakkan berfikir tentang kebaikan orang yang dimarahi berbanding mengingati keburukannya.
  • Cuba bayangkan wajah dan tindakan anda ketika marah. Tentu hodoh dan buruk sekali wajah ketika itu. Imam al-Ghazali pernah berkata; ” Orang yang marah, keadaannya sama dengan binatang buas. Sebaliknya orang yang tenang keadaannya adalah seumpama nabi-nabi, wali-wali dan ahli hikmat. Oleh itu seseorang yang sedang marah boleh memilih untuk menyerupai binatang buas atau manusia yang terpuji”
PENANDA ARAS KESEMPURNAAN IMAN

Imam Muhammad bin Ka’ab berkata : Sesiapa yang memiliki tiga perkara, maka sempurnalah keimanannya iaitu :

1. Apabila mendapat kesenangan, ia tidak terjebak dalam kebatilan

2. Apabila dia marah, kemarahannya tidak menggelincirkannya dari landasa kebenaran

3. Apabila dia berkuasa, dia tidak mengambil harta yang bukan haknya

RUMUSAN
Mereka yang mampu mengawal emosi, maka ia akan mampu mengawal suasana. Mereka yang bersifat seperti ini akan disegani dan dihormati baik oleh rakan

Wallahu a’lam

No comments: