Friday, April 10, 2009

Hanya mampu lihat lelaki dirempuh

Petikan dari Harian Metro, 10 April 2009

SHAH ALAM: Mengerikan apabila mayat seorang lelaki hampir berkecai selepas dilanggar sebuah komuter di Seksyen 16, berhampiran sebuah kilang cat di sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, mangsa yang belum dikenal pasti identiti itu mati di tempat kejadian selepas dilanggar oleh komuter dari arah Klang menuju ke Kuala Lumpur.

Difahamkan sebelum kejadian, beberapa pengguna yang melalui laluan Persiaran Raja Muda, dekat sini, melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berdiri di atas landasan terbabit.

Mereka, bagaimanapun, tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya mampu melihat sebelum lelaki terbabit dirempuh dengan kuat oleh sebuah komuter sehingga mayat melambung ke tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata sejurus menerima panggilan, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba mangsa sudah meninggal dunia dan terbaring di tepi laluan kereta api.

“Siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang pengenalan diri mangsa, sekali gus menyukarkan kami mengenal pasti identitinya.

“Maklumat yang diperoleh daripada pihak pengurusan memberitahu, pemandu komuter gagal membrek sebelum melanggar mangsa,” katanya di sini, semalam

No comments: